FILEM PERANG BERSEJARAH, PELURU SENJA HIDUPKAN KEMBALI SUASANA TANAH MELAYU 1948 MENJELANG HARI KEBANGSAAN
Hai. Assalamulaikum dan salam sejahtera.
Filem drama perang berlatarkan sejarah, Peluru Senja (The Ghost & the Gun), diraikan menerusi tayangan perdana malam ini sebelum menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 28 Ogos 2026, bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
![]() |
| Pelakon utama Filem Peluru Senja dari kanan Hazman Al-Idrus, Asmara Abigail & Fabian Loo |
Diarahkan oleh pengarah filem India yang berpangkalan di Singapura, Anshul Tiwari, filem ini menghimpunkan barisan pelakon serta tenaga produksi dari Malaysia, Indonesia, Singapura, India, Bangladesh, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Karya ini merupakan hasil kerjasama FilmsPositive, LDNO Productions, Limbo Pictures dan Viking Sunset Studios, manakala MSK Cinemas Sdn Bhd bertindak sebagai pengedar rasmi di Malaysia.
Berlatarkan Tanah Melayu pada tahun 1948, Peluru Senja mengisahkan seorang askar Tanah Melayu dan seorang askar British yang tertinggal ketika pasukan British berundur. Dibayangi trauma peperangan, kedua-duanya terpaksa mengetepikan perbezaan apabila sebuah perkampungan berdepan ancaman kumpulan bersenjata.
Di sebalik latar peperangan, Peluru Senja turut menyelami kesan konflik terhadap manusia menerusi tema kelangsungan hidup, kehilangan, pengorbanan, trauma serta pilihan sukar yang terpaksa dibuat dalam zaman penuh pergolakan.
Meskipun Peluru Senja merupakan karya fiksyen sejarah yang diilhamkan daripada peristiwa pada era tersebut, Tiwari berkata, penting untuk penceritaannya kekal berlandaskan penyelidikan sejarah, selain mengetengahkan perspektif Asia yang jarang dipaparkan di layar perak.
Latar belakang saya dalam pembikinan dokumentari menjadikan ketepatan sejarah sebagai antara perkara paling penting dalam menghasilkan filem ini. Setiap perincian perlu bersandarkan fakta bagi menghormati sensitiviti sejarah Tanah Melayu, tanpa membiarkan kebebasan kreatif memesongkan sejarah,” katanya.
Usaha menghidupkan semula suasana Tanah Melayu pada tahun 1948 memerlukan penyelidikan terperinci, termasuk lawatan ke muzium perang dan galeri nasional bagi meneliti artifak serta rujukan visual daripada era berkenaan.
Pihak produksi turut membina set perkampungan dan kem pemberontak, selain memastikan kostum, senjata serta elemen produksi lain selari dengan latar zaman yang digambarkan.
Pada masa sama, barisan pembikin filem mahu Peluru Senja melangkaui persepsi konvensional terhadap filem sejarah dengan mengetengahkan penceritaan pantas, penuh ketegangan dan skala sinematik sebuah thriller aksi kontemporari.
Pelakon Indonesia, Asmara Abigail berkata, sejak awal mereka tidak mahu filem tersebut tampil sebagai karya sejarah yang sarat dengan fakta semata-mata, sebaliknya mahu memberikan pengalaman sinematik yang mampu mendekati penonton daripada pelbagai generasi.
“Kami tidak mahu Peluru Senja terasa seperti pelajaran sejarah yang membosankan. Walaupun berlatar tahun 1948, filem ini digerakkan dengan rentak sebuah thriller aksi moden,” katanya.
Filem tersebut dibintangi pelakon Malaysia, Hazman Al-Idrus dan Fabian Loo bersama Asmara Abigail serta pelakon Amerika Syarikat, Brett Tutor, selain disokong barisan pelakon antarabangsa seperti Zidan El Hafiz, Lupeng Rashid, Nobuyuki Suzuki dan Indra Pacique.
Menurut Fabian, antara kekuatan Peluru Senja ialah cara filem berkenaan tidak sekadar meletakkan setiap watak sebagai baik atau jahat. Sebaliknya, ia memperlihatkan bagaimana konflik, ketakutan dan keadaan sekeliling mampu membentuk seseorang serta memaksa mereka membuat pilihan moral yang sukar.
Penggambaran Peluru Senja turut menuntut ketahanan fizikal yang tinggi daripada barisan pelakon dan kru apabila mereka berdepan cuaca tidak menentu, lokasi mencabar di Bali, Indonesia serta babak aksi intensif sepanjang proses produksi.
Bagi Hazman, pemilihan tarikh tayangan pada minggu sambutan Hari Kebangsaan cukup bermakna kerana Peluru Senja mengajak generasi muda melihat sejarah melangkaui tarikh dan fakta dalam buku teks, sekali gus memahami pengorbanan yang dilalui masyarakat biasa ketika zaman tersebut.
Bagi Hazman, pemilihan tarikh tayangan pada minggu sambutan Hari Kebangsaan cukup bermakna kerana Peluru Senja mengajak generasi muda melihat sejarah melangkaui tarikh dan fakta dalam buku teks, sekali gus memahami pengorbanan yang dilalui masyarakat biasa ketika zaman tersebut.
“Hari Kebangsaan adalah tentang menghargai kebebasan yang kita nikmati, tetapi Peluru Senja mengajak kita mengingati harga yang perlu dibayar untuk mencapainya. Kami mahu generasi muda melihat lebih daripada sekadar tarikh dalam buku teks dan memahami sisi kemanusiaan di sebalik sejarah kita,” katanya.
Pengarah MSK Cinemas Sdn Bhd, Saratah Sivalingam berkata, pihaknya berbesar hati membawa Peluru Senja kepada penonton di Malaysia, sambil menyifatkan latar ceritanya di Tanah Melayu, kekuatan emosi serta nilai produksi filem berkenaan sebagai antara elemen yang wajar dinikmati di layar lebar.
MSK Cinemas menyokong tayangan filem tersebut menerusi kempen pemasaran dan promosi di Malaysia. Peluru Senja (The Ghost & the Gun) akan ditayangkan secara eksklusif di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2026.
INFORMASI FILEM
Judul: Peluru Senja (The Ghost & the Gun)
Genre: Drama Perang / Thriller Aksi Berlatar Sejarah
Pengarah: Anshul Tiwari
Pelakon Utama: Hazman Al-Idrus (Ishraq Wan atau Iz), Asmara Abigail (Siti), Fabian Loo (Chin Liu), Brett Tutor (Abe)
Penglibatan Antarabangsa: Malaysia, Indonesia, Singapura, India, Bangladesh, United Kingdom dan Amerika Syarikat
Kerjasama Produksi: FilmsPositive, LDNO Productions, Limbo Pictures dan Viking Sunset Studios
Pengedar Rasmi Malaysia & Brunei: MSK Cinemas Sdn Bhd
Tarikh Tayangan Malaysia: 28 Ogos 2026
-Miedajaz -


Comments
Post a Comment
TERIMA KASIH PADA YANG SUDI MEMBERI KOMEN